Yang Di-Pertuan Agong Lambang Permuafakatan | OFFICE OF THE LEGAL ADVISOR
» ARTICLE » Yang di-Pertuan Agong lambang permuafakatan

Yang di-Pertuan Agong lambang permuafakatan

Yang di-Pertuan Agong, Institusi Beraja peringkat Persekutuan yang disempurnakan sempena penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, menjadi kebanggaan dan maruah negara serta simbol agung kedaulatan kita.

Ia hasil muafakat yang membawa berkat kepada negara. Muafakat di sini merujuk kepada muafakat semua negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 dan seterusnya dipersetujui oleh negeri ketika pembentukan Malaysia pada 1963.

 

Institusi Yang di-Pertuan Agong juga muafakat di antara sembilan Institusi Beraja di negeri Melayu yang menerima sistem giliran dalam menjawat jawatan berkenaan dan berkongsi kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan.

Muafakat juga dapat dilihat daripada komitmen negeri yang tidak mempunyai Raja untuk berkongsi manfaat daripada Institusi Beraja peringkat Persekutuan, terutama dalam hal berkaitan agama dan perpaduan.

 

Undi rahsia

Perlembagaan Persekutuan menyatakan di bawah peruntukan Jadual Kelima, bahawa pemilihan seorang Sultan dari negeri Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah di bawah kuasa budi bicara baginda Sultan sendiri.

Ia dibuat melalui keputusan daripada undi rahsia baginda Sultan melalui Majlis Raja-Raja. Keputusan undi rahsia itu hendaklah diterima dan dipersetujui oleh Sultan yang dicalonkan sebagai Yang di-Pertuan Agong sebelum lantikan dimuktamadkan Majlis Raja-Raja.

Dengan erti kata lain, sebarang keputusan undian hendaklah diperkenan oleh Sultan yang namanya diundi sebagai Yang di-Pertuan Agong. Sekiranya tiada perkenan baginda, maka baginda tidak boleh diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Sistem penggiliran ini menjadikan institusi Yang di-Pertuan Agong unik dan berbeza daripada negara lain di dunia. Dengan tercipta dan dimasyhurkan institusi itu, ia menjadikan Malaysia negara mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, bukan sahaja pada peringkat negeri, tetapi juga Persekutuan.

 

Ketua Utama Persekutuan

Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan mengisytiharkan bahawa Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Utama Persekutuan yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang dalam Persekutuan.

Perlembagaan juga mengisytiharkan kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam pentadbiran negara. Baginda mempunyai peranan dalam ketiga-tiga institusi kerajaan, iaitu badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Kuasa eksekutif, seperti disebut dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan, terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong, walaupun secara umumnya kuasa eksekutif itu dilaksana oleh penjawat awam dengan frasa ‘Urusan Seri Paduka Baginda’ pada setiap urusan rasmi.

Kuasa eksekutif ini ialah kuasa berkaitan pentadbiran dan peruntukan ini menunjukkan peranan Yang di-Pertuan Agong amat besar dalam pentadbiran negara.

Segala urusan negara hendaklah diperakui di bawah kuasa yang terletak hak mengikut Perkara 39 itu.

Perkara 44 Perlembagaan pula menetapkan, Yang di-Pertuan Agong adalah satu komponen utama dalam badan perundangan.

Baginda mempunyai tanggungjawab mengenai urusan perundangan dan paling penting dalam urusan demokrasi ialah baginda mempunyai kuasa budi bicara dalam pembubaran Dewan Rakyat.

Berkaitan hal ehwal kehakiman, baginda mempunyai kuasa untuk pelantikan hakim di Mahkamah Tinggi. Amat penting juga untuk dirakamkan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai kuasa tertinggi berkaitan memberi pengampunan.

Perkara ini disebut mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Walaupun kuasa pengampunan ini tidak sepenuhnya berkaitan kuasa kehakiman, ia menampilkan kekuasaan yang dimiliki institusi Yang di-Pertuan Agong.

Dalam konteks agama Islam, Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Agama Islam bagi negeri yang tidak mempunyai Raja dan juga bagi Wilayah Persekutuan.

Oleh itu, institusi Yang di-Pertuan Agong amat bermakna bagi agama Islam. Perkara ini dapat dilihat dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Bagi tujuan pelaksanaan apa-apa perbuatan, amalan atau upacara berkaitan agama Islam, Yang di-Pertuan Agong mewakili Majlis Raja-Raja mengenai perkara yang sudah diperkenan oleh Majlis Raja-Raja atas sifat baginda Raja sebagai Ketua Agama Islam.

 

Lambang perpaduan

Dalam konteks perpaduan, Yang di-Pertuan Agong ialah lambang perpaduan. Baginda ialah sumber kekuatan kepada kepelbagaian dan menjadi kemuncak kepada keadilan dan keseimbangan di antara warga Malaysia.

Perkara ini dapat dilihat dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang dinyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab menjaga kuota untuk orang Melayu dan Anak Negeri dan pada masa sama hendaklah menjaga kepentingan sah komuniti bukan Melayu dan bukan Anak Negeri.

Dalam aspek keselamatan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong ialah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera. Fungsi ini amat penting bagi keselamatan negara. Perkara ini dinyatakan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Berkaitan keselamatan Persekutuan, Perkara 150 menjamin kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membuat pengisytiharan darurat sekiranya baginda yakin bahawa darurat besar berkemungkinan akan berlaku pada negara.

Apa yang dinyatakan di atas sekadar sedikit sahaja peranan Yang di-Pertuan Agong yang jelas dan nyata dalam Perlembagaan Persekutuan.

Terdapat banyak lagi yang perlu dihuraikan, namun cukup dalam ruang ini untuk kita sekadar mengambil iktibar bahawa takhta Yang di-Pertuan Agong ialah sinar daripada rasa muafakat.

Lazimnya dalam sejarah sistem beraja, tidak mudah untuk seseorang Raja berkongsi kedaulatan bersama-sama Raja lain. Namun, atas sifat muafakat, Institusi Beraja peringkat Persekutuan kekal sehingga kini.

Permuafakatan itu jelas terpancar dan kita mengharapkan ia akan terus menjadi amalan, memberi sinar yang berpanjangan kepada agama dan negara.

 

Oleh Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Diterbitkan oleh Berita Harian 8 Januari 2019.

Carian oleh Siti Maryam Othman, Pejabat Penasihat Undang-Undang, UPM.

Date of Input: 10/01/2019 | Updated: 10/01/2019 | sitimaryam

MEDIA SHARING

OFFICE OF THE LEGAL ADVISOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389466172
0389472046
C1548205182